
29 Julai 2026 - Majlis Perasmian Penutup Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2026 disempurnakan oleh YB Dato' Haji Mohd Azmi Mohamad Daham, Setiausaha Kerajaan Terengganu pada hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa institusi baitulmal perlu terus diperkasakan sebagai pemangkin pembangunan ummah yang bukan sahaja berperanan menguruskan kutipan dan agihan, malah turut menyumbang secara signifikan dalam bidang pendidikan, kesihatan, penyelidikan, inovasi, keusahawanan serta pembangunan modal insan.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha memperkukuh institusi kewangan sosial Islam secara telus, berintegriti dan berimpak tinggi adalah selari dengan aspirasi Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Pada majlis yang sama, YB Setiausaha Kerajaan Terengganu turut menyempurnakan pelancaran Logo Rasmi Zakat Perniagaan MAIDAM. Pelancaran logo tersebut merupakan satu inisiatif baharu MAIDAM sebagai identiti rasmi dan simbol pengiktirafan kepada syarikat, organisasi serta entiti perniagaan yang menunaikan zakat perniagaan melalui MAIDAM.
Selain memperkukuh penjenamaan Zakat Perniagaan MAIDAM, logo ini diharap dapat meningkatkan kesedaran dan keyakinan sektor korporat terhadap tanggungjawab berzakat, seterusnya menggalakkan lebih banyak syarikat tampil menunaikan zakat perniagaan melalui MAIDAM demi menyokong pembangunan ekonomi ummah yang lebih mampan.